Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Bagi menyatuni masyarakat bersempena perayaan Tahun Baru Cina, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan khas kepada dua orang penerima.
Sumbangan itu diwakilkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dan diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang yang menziarahi Chai Pau Chin dan Leong Ah Moi di Kuantan, Pahang.
Menurut perkongsian di Facebook Farhan Fauzi, Chan Pau Chin kini sedang berjuang melawan kanser payudara tahap empat, manakala Leong Ah Moi adalah warga emas yang tidak berpendapatan dan memerlukan perhatian.
“Bagi menyatuni mereka, saya bersama YB ADUN Semambu, Chan Chun Kuang telah menyampaikan sumbangan ikhlas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berupa sumbangan tunai, limau mandarin dan bakul makanan.
“Dalam siri Ziarah MADANI sempena Tahun Baru Cina juga, Leong Ah Moi, kami turut menyampaikan sumbangan ikhlas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkumi keperluan harian serta buah tangan khas sempena perayaan ini.
“Semoga sumbangan ini membawa keceriaan kepada mereka dan menghangatkan sambutan Tahun Baru Cina,” tambahnya.
Siri Ziarah Madani merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh Perdana Menteri bagi mendekatkan lagi kerajaan dengan rakyat.
Program itu juga bertujuan memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat dengan menyelami secara langsung isu-isu yang dihadapi oleh rakyat serta mendengar keluh kesah mereka.
Dalam siri Ziarah Madani, pelbagai komuniti di seluruh negara dikunjungi bertemu dengan rakyat untuk lebih memahami masalah mereka serta memberi solusi dan bantuan yang diperlukan.
Baca juga: