Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang sebelum ini yang dicadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat memaklumkan keputusan itu membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap kebajikan petugas kesihatan dan memahami keperluan untuk melakukan kajian yang lebih menyeluruh sebelum melaksanakan sebarang perubahan besar dalam sistem waktu bekerja.
Beliau turut menegaskan bahawa cadangan WBB itu bukan berasal daripada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) seperti yang disalah ertikan oleh sesetengah pihak.
Sebalik katanya, ia adalah cadangan daripada Medical Advisory and Action Committee (MAAC).
“Oleh itu, tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan kumpulan pegawai ini tanpa asas yang kukuh.
“PTD sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar dengan profesional dan berintegriti demi kepentingan Negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr Adnan turut memaklumkan bahawa CUEPACS menyokong langkah KKM untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji penjadualan waktu kerja dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, CUEPACS berharap jawatankuasa itu akan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan termasuk wakil kesatuan sekerja dan pekerja yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan kesihatan.
Justeru, beliau menyeru semua pihak agar tidak lagi membuat spekulasi atau menyalahkan mana-mana pihak secara tidak adil.
Pada 26 Januari lalu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan pembatalan projek rintis Waktu Berkerja Berlainan (WBB) untuk pegawai perubatan bukanlah satu keputusan “flip-flop” oleh kerajaan.
Jelasnya, projek rintis itu yang bertujuan mengurangkan beban dan tekanan kerja pegawai perubatan masih dalam peringkat percubaan ketika dibatalkan.
Baca juga: