YADIM sokong penuh usaha Malaysia bangunkan semula infrastruktur Gaza

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong penuh komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membangunkan semula infrastruktur penting di Gaza termasuk masjid, sekolah dan hospital seperti yang diumumkan pada 29 Januari lalu.

Menerusi satu kenyataan, YADIM menegaskan bahawa demi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan dunia, ia adalah tanggungjawab bersama masyarakat antarabangsa.

“Dalam hal ini, kerajaan dan rakyat Malaysia terus memainkan peranan penting bagi mempertahankan keadilan serta hak asasi manusia,” katanya.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, inisiatif bantuan tersebut tidak bergantung sepenuhnya kepada perbelanjaan kerajaan.

“Dengan kepimpinan bijaksana dan diplomasi mantap, Perdana Menteri telah mengukuhkan hubungan strategik dengan kuasa ekonomi besar seperti China dan Jepun yang turut komited dalam pembangunan semula Palestin,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa adalah tidak tepat untuk menyamakan sokongan Malaysia terhadap Palestin dengan peribahasa ‘anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran’.

“Malaysia sentiasa meletakkan kebajikan rakyatnya terpelihara tanpa mengira latar belakang dan perbezaan mereka.

“Kerajaan MADANI telah terbukti konsisten melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjaga menerusi inisiatif seperti subsidi bersasar, inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kenaikan gaji minimum, jualan Rahmah MADANI dan pelbagai lagi,” katanya.

Hasanuddin turut menekankan bahawa sokongan negara terhadap Palestin bukan sekadar manifestasi solidariti kemanusiaan tetapi juga cerminan tanggungjawab moral dan integriti sebagai negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya usaha berterusan ini bukan sahaja memperkukuh kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia, malah membuka peluang pelaburan dan pelancongan, sekali gus meningkatkan daya tarikan.

“Semoga segala ikhtiar kita dalam membantu rakyat Palestin diberkati Allah SWT dan marilah kita terus berdoa agar keamanan serta kesejahteraan kembali di bumi Gaza dan seluruh Palestin,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat