Malaysia Negara ASEAN Pertama Bakal Bangun Bandar Wakaf di Gaza, Bawah Naungan Perdana Menteri

Oleh: Dr Sani Araby Al-Kahery

ULASAN | MALAYSIA bakal mencipta sejarah sebagai negara pertama di ASEAN yang akan membangunkan Bandar Wakaf di Gaza melalui Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, projek ini akan dilancarkan dalam tempoh terdekat selepas bulan Ramadan. 

Projek berimpak tinggi ini berada di bawah naungan utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaras dengan peranan beliau sebagai peneraju ASEAN yang menekankan solidariti dan pembelaan terhadap rakyat Palestin.

Langkah ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Malaysia dalam membantu membangunkan semula Gaza pasca peperangan tetapi juga memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa sebagai penyokong utama perjuangan Palestin.

Berikut adalah beberapa komponen utama Bandar Wakaf Malaysia yang akan dibangunkan di Gaza.

Projek ini melibatkan pembinaan 14 blok apartmen wakaf mewakili semua negeri dalam Malaysia, sebuah masjid berkembar dengan Masjid Shah Alam, sebuah sekolah Malaysia, taman rekreasi.

Manakala sebanyak 56 unit premis perniagaan di bawah program Mikro-Kredit Khardul Hasan, sebuah klinik kesihatan, serta menara tangki air, menjadikannya satu ekosistem pembangunan yang lengkap dan mampan.

Beberapa komponen utama dalam pembangunan ini telah disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk:

✅ Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor, dan Menara Tangki Air – diwakaf oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai sebahagian daripada komitmen negeri dalam membantu membangunkan semula Gaza.

✅ Sekolah Malaysia di Bandar Wakaf Gaza – diwakafkan oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang diketuai oleh Muhammad Nadir Al-Nuri, yang juga dilantik sebagai Timbalan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza.

✅ Malaysia Central Kitchen dan Apartmen Wakaf Putrajaya – Ditaja oleh JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), dengan penglibatan langsung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagai pusat makanan komuniti yang akan menyediakan bantuan makanan harian kepada penduduk Gaza.

✅ Apartmen Wakaf oleh Negeri-Negeri Lain – Kerajaan negeri Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, dan Pulau Pinang telah bersetuju untuk sinergi wakaf di Gaza sebagai sebahagian daripada inisiatif ini.

Dukungan Padu Kerajaan Madani

Dukungan padu Kerajaan Malaysia dan NGO zahirkan projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza sebagai usaha nasional membina semula Gaza.

Projek ini turut mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, yang menitahkan dan lancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac 2024 sebagai sebahagian daripada usaha negeri dalam membangunkan Gaza.

Selain itu, kerajaan negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pelbagai agensi kerajaan turut menyatakan komitmen mereka dalam menjayakan projek ini.

Secara prinsipnya, pembangunan bandar wakaf ini bukan sekadar inisiatif bantuan, tetapi model pembangunan wakaf pertama Malaysia di bumi Palestin yang boleh dijadikan contoh di peringkat global. 

Ini adalah himpunan hati dan solidariti Malaysia merangkumi semua bangsa dan agama yang menjayakan untuk bina semula Gaza.

Projek Bandar Wakaf optimis projek ini dapat dibangunkan dengan sokongan langsung Perdana Menteri, Menteri dari semua kementerian serta Kerajaan Negeri termasuklah agensi, badan korporat dan juga rakan NGO . 

Total anggaran kos dijangkakan RM120 juta untuk projek dengan pemberian tanah wakaf seluas 87 ekar yang telah dimetrai perjanjian dalam Gaza pada Februari 2023. 

Sehingga kini pihak sekretariat sudah pun menerima persetujuan wakaf bernilai RM40 juta.

Pengalaman MAPIM serta rakan sinergi CGM, Gagasan MyAqsa Defender dan yang telah berjaya membina 10 buah masjid di Gaza serta membantu membaik-pulih semula hospital, sekolah, ruang ekonomi serta rumah saudara Gaza menjadi pengalaman penting untuk kesinambungan projek ini.

Malaysia telah lakarkan sejarah berjaya menghantar bantuan kemanusiaan siri demi siri dari ops ihsan, MAPIM hinggalah misi-misi khas termasuk merawat keluarga Gaza di Malaysia dan mengeluarkan keluarga Nadir Al-Nuri.

Tetapi kini komited dalam membangunkan semula Gaza dengan konsep wakaf yang mampan dan jangka panjang. 

Ini adalah langkah ke hadapan dalam usaha kita memastikan rakyat Palestin dapat kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.

Pelancaran Selepas Ramadan, Menandakan Era Baharu Bantuan Malaysia ke Gaza

Majlis pelancaran rasmi projek ini akan diumumkan dalam masa terdekat dan dijangka menjadi satu peristiwa bersejarah dalam hubungan diplomasi dan kemanusiaan Malaysia-Palestin.

Projek ini juga memperkukuh agenda Malaysia MADANI yang menekankan keprihatinan terhadap isu global, khususnya dalam memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia di Palestin.

***Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan kini Pengarah Projek Bandar Wakaf Gaza.

Anda Mungkin Berminat