Oleh: Hanim Nadia
KUALA SELANGOR: Tiada sebarang aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Puncak Alam seperti didakwa di media sosial pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, polis sebelum ini mengesan satu hantaran di TikTok yang memaklumkan terdapat aktiviti pelacuran di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, hasil serbuan dan pemeriksaan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di hotel itu pada jam 1.20 pagi Isnin mendapati aktiviti tidak bermoral itu tidak berlaku seperti didakwa.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada aktiviti pelacuran di hotel terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai diingatkan tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih.
Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah, mereka boleh menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891223 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Baca juga: