Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Biro Antarabangsa Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional menyeru semua pihak, termasuk parti politik untuk mengenepikan perbezaan demi membantu membina semula Gaza.
Menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin, AWAN berkata, solidariti rakyat Malaysia yang bersatu atas dasar kemanusiaan dijangka memberi impak besar, memperkukuh imej negara dan menyemarakkan sokongan antarabangsa untuk Palestin.
“Isu Palestin harus dilihat bukan hanya dilihat dari lensa agama semata-mata. Genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis melibatkan wanita dan kanak-kanak terutamanya, telah membuka mata masyarakat dunia tentang isu Palestin dan kezaliman mereka.
“Sejajar dengan prinsip Rahmah dan Kasih yang menjadi teras perjuangan AMANAH dan AWAN, kami akan terus memperkukuh usaha membantu rakyat Palestin melalui inisiatif kemanusiaan yang bersifat inklusif dan berteraskan nilai kasih sayang sejagat,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, AWAN menyokong penuh usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI dalam membantu membangunkan semula Gaza secara kerjasama dengan negara luar dan komuniti antarabangsa.
Tambahya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin yang telah ditindas selama 15 bulan oleh zionis Israel.
“Sangatlah wajar Malaysia bersama-sama dengan komuniti antarabangsa membantu penduduk Gaza khususnya dan rakyat Palestin amnya meneruskan kehidupan mereka.
“Kami yakin bahawa dengan keazaman dan solidariti global, kezaliman ini dapat dihentikan, dan rakyat Palestin akhirnya dapat menikmati kebebasan serta hak yang sewajarnya,” katanya.