PETALING JAYA: Kenaikan tarif elektrik tidak melibatkan 85 peratus isi rumah, sebaliknya hanya dikenakan kepada industri dan golongan kaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, langkah menaikkan tarif elektik itu bertujuan menambah peruntukan kepada keperluan awam seperti sekolah dan hospital.
“Saya sebut di hadapan para peniaga bahawa kita tidak akan tolak ansur dan terpaksa menaikkan tarif tetapi tidak melibatkan 85 peratus rakyat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai kenaikan tarif elektrik berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kadar kenaikan itu bukan sehingga 14 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Dengar betul-betul dan jangan dengar dengan sentimen marah. Inilah masalahnya, penyakit marah, bukan penyakit fakta ekonomi.
“Kita sudah tegur mengenai kenyataan TNB (Tenaga Nasional Berhad) yang dilakukan secara umum.
“Saya sudah katakan mereka sepatutnya cerakinkan apa kategori yang dinaikkan. Saya tegaskan semula, kenaikan kadar elektrik untuk industri akan berlaku mengikut Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) mulai Julai,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan bermula 1 Julai 2025 ini, tarif elektrik asas di Semenanjung Malaysia akan meningkat 14.2 peratus kepada 45.62 sen/kWj bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Pelarasan naik daripada kadar semasa 39.95 sen/kWj ini adalah hasil penelitian yang dicapai pada rangka kerja kawal selia sektor kuasa kelak.
Baca juga: