Pasukan petugas ditubuh, kaji pelaksanaan Pusat Mediasi MADANI

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Satu Pasukan Petugas telah ditubuhkan bagi memperincikan keperluan serta skop cadangan pelaksanaan Pusat Mediasi MADANI.

Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, pasukan petugas itu terdiri daripada pakar perundangan.

“Ahli-ahli yang dilantik dalam pasukan itu ialah Datuk Muhammad Adam Abdullah, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi, Shanti Abraham dan Gunavathi Subramaniam.

“Mereka akan mengenal pasti skop dan bidang kuasa pusat ini, menentukan jenis kes yang boleh dirujuk, mencadangkan parameter yang jelas dan komprehensif dalam menyelaraskan perkhidmatan mediasi di Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, pasukan itu telah mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) pada 4 Februari 2025 bagi membincangkan skop tugas serta terma rujukan yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.

Pusat Mediasi MADANI adalah bagi menangani isu itu dan merealisasikan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh sistem penyelesaian pertikaian secara aman di luar mahkamah.

Menurut kenyataan itu lagi, mediasi turut membantu mengurangkan beban mahkamah dengan membolehkan pihak yang bertikai mencapai penyelesaian secara rundingan, dibantu oleh pihak ketiga yang neutral, iaitu pengantara (mediator).

“Proses mediasi atau pengantaraan kini semakin mendapat perhatian sebagai kaedah penyelesaian pertikaian yang efektif dan cekap di Malaysia selain melibatkan kos yang lebih rendah berbanding litigasi dan timbang tara.

“Namun, landskap mediasi semasa menghadapi beberapa cabaran seperti kurangnya koordinasi antara penyedia perkhidmatan, kesedaran awam yang rendah tentang manfaat mediasi, kekurangan program pembangunan kapasiti untuk pengantara serta tiada piawaian bagi latihan dan pentauliahan pengantara.

“Cadangan penubuhan Pusat Mediasi MADANI diharapkan dapat mengutamakan pendekatan rakyat-centric dalam perkhidmatan mediasi bagi menjamin akses keadilan yang lebih mudah dan saksama,” katanya.

Anda Mungkin Berminat