ASEAN tolak cadangan Trump, tegas komitmen kemanusiaan

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN: ASEAN menegaskan pendirian tidak bersetuju dan menolak sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa termasuk cadangan pengusiran rakyat Palestin secara paksa.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN menyatakan kekesalan dengan pengumuman tersebut dan tindakan itu jelas bertentangan dengan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya telahpun bersama-sama dengan rakan-rakan sejawat ASEAN bahawa kita tidak bersetuju dengan tindakan yang disifatkan luar pemikiran waras.

“Kita tidak bersetuju dengan apa saja pelanggaran piagam PBB dan kita tidak bersetuju dengan pelanggaran hak asasi manusia, Geneva Convention ataupun yang sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut beliau, ASEAN berpegang pada prinsip konsensus dalam mengeluarkan kenyataan rasmi dan Malaysia telah berbincang dengan rakan sejawat untuk menyatakan pendirian tegas mengenai isu itu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi Wisma Putra yang menyatakan kekesalan dengan pengumuman itu dan kekal dengan pendirian bahawa satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Pada Selasa, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan pemindahan penduduk Gaza ketika beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih.

Trump turut mencadangkan satu visi untuk “pemilikan jangka panjang” serta pembangunan semula Gaza, satu kenyataan yang luar biasa daripada seorang Presiden AS dalam konflik berabad lamanya terutamanya bagi seorang pemimpin yang meraih kuasa politik di AS melalui kritikannya terhadap perang berpanjangan Amerika di Asia Barat.

Anda Mungkin Berminat