Tajaan DAP? Ayuh Pemuda PAS, kita berdialog – Pemuda Amanah


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) tegas meminta Pemuda PAS untuk menghentikan tuduhan dengan memainkan politik murahan.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan oleh EXCO Pemuda Amanah Nasional, Hafiz Roslan, pihak Pemuda PAS melemparkan tuduhan kononnya AMANAH adalah parti tajaan DAP.

Katanya, tuduhan itu bukan sahaja tidak berlandaskan fakta, malah menunjukkan PAS semakin ketandusan hujah dalam mendepani cabaran politik semasa.

“Pemuda Amanah menzahirkan kekesalan terhadap tuduhan tidak berasas yang terus dilemparkan oleh Pemuda PAS.

“Sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip Islam progresif, Amanah menolak sebarang bentuk politik kebencian dan fitnah.

“Amanah berdiri teguh dalam mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan sentiasa berusaha memastikan setiap dasar yang diperjuangkan mendukung nilai keadilan, rahmah, dan keharmonian sejagat.

“Fitnah terhadap parti ini sebagai ‘tajaan DAP’ adalah naratif lapuk yang tidak lagi diterima rakyat yang semakin bijak menilai politik matang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Susulan itu, Pemuda Amanah mencabar Pemuda PAS untuk ke hadapan dan berdialog secara terbuka mengenai isu-isu sebenar yang melibatkan kepentingan umat Islam di Malaysia.

“Amanah akan terus berjuang demi kepentingan Islam, keadilan sosial, dan perpaduan rakyat tanpa mengira kaum serta agama.

“Kami berharap Pemuda PAS akan menyahut cabaran ini secara profesional dan terbuka demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia. Politik fitnah tidak membawa sebarang manfaat kepada negara,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat