PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau, akan memulangkan semula kenderaan elektrik (EV) yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Menurut Anwar, kenderaan berjenama TOGG keluaran Turkiye itu diterimanya baru-baru ini sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.
“Saya boleh guna selagi saya menjadi Perdana Menteri, tetapi selepas itu kena serah balik kepada negara,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, pada Isnin.
Perdana Menteri berkata, beliau sempat menggunakan kenderaan itu meninjau persiapan menyambut kehadiran Presiden Turkiye terbabit sempena lawatan rasminya ke Malaysia selama dua hari.
“Semalam (Ahad), saya kebetulan cuba mobil EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye…beliau hadiahkan kepada Perdana Menteri, tapi bagi saya kepada negara, ia bukan hak saya,” katanya.
Anwar berkata, ketika dalam perjalanan ke Kompleks Sri Perdana kira-kira jam 1.30 tengah hari Ahad, beliau melihat puluhan penjawat awam dari pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, polis dan bahagian pendidikan sedang bertugas mempersiapkan lawatan rasmi Presiden Turkiye.
Justeru, beliau amat menghargai segala kerja-keras dan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus mempersiapkan sambutan berkenaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia memanfaatkan peluang sebagai Pengerusi ASEAN untuk membuktikan kecekapan penjawat awam dalam mengurus ratusan program secara berkesan.
Katanya, pengurusan ASEAN bukan hanya mengenai kedudukan atau kebanggaan, sebaliknya mencerminkan kemampuan penjawat awam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
“Ini tentunya memerlukan penugasan yang lebih daripada biasa. Tahap persiapan kita bagi acara itu di antara yang terbaik yang saya saksikan.
“Walaupun tidak semewah beberapa negara, tetapi tahap kecakapan, disiplin dan kerapian itu sangat membanggakan,” katanya.
Baca juga: