Tingkat penguatkuasaan pengendali media sosial banteras judi dalam talian – Pakar

PETALING JAYA: Kerajaan disaran untuk terus meningkatkan penguatkuasaan terhadap pengendali media sosial bagi membanteras kandungan dan aktiviti judi dalam talian.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, meskipun pelesenan media sosial sudah diwajibkan pada awal tahun ini, namun aktiviti berkenaan dilihat masih lagi berleluasa dan seolah-olah tiada kesudahan.

“Justeru, kerajaan juga dicadang untuk menarik semula lesen pengendali dan menutup akses media sosial berkaitan yang tidak mengambil sebarang tindakan atau bertindak sambil lewa dalam memerangi judi dalam talian.

“Langkah ini dijangka bakal membuatkan pengendali media sosial lebih fokus dalam pembanterasan bukan sahaja terhadap judi dalam talian, malah akan mengurangkan aktiviti terlarang yang lain di platform terbabit,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Ketika ditanya mengenai langkah kesedaran orang ramai terhadap judi dalam talian, Shahul turut menyarankan agar kerajaan mengambil tindakan terhadap individu yang didapati terbabit dalam aktiviti tersebut.

Ini termasuk dengan mengenakan hukuman denda dan penjara dalam tempoh masa berpatutan.

“Mereka sepatutnya sudah sedia maklum mengenai akibat daripada judi dalam talian, yang sememangnya kerap kali berlaku penipuan, scam serta merugikan wang.

“Hukuman itu mungkin boleh menyedarkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang langsung tidak memberi sebarang manfaat,” jelasnya.

Terdahulu, sebanyak 5,026 laman sesawang judi disekat, manakala 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial juga turut diturunkan sehingga 1 Februari lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna.

Katanya, perkara itu selaras dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat