Sindiket dadah di Muar tumpas, tiga individu ditahan

MUAR: Satu sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan polis dalam serbuan di sebuah hotel di daerah ini seterusnya membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, serbuan dilakukan pada Rabu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

“Hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin seberat 466 gram serta empat paket plastik lut sinar mengandungi syabu seberat 3.4 kilogram (kg).

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM152,870,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam serbuan itu, katanya, turut dirampas sebuah motosikal Yamaha Y150ZR dan kereta Proton Wira warna hitam yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pengedaran dadah.

Jelasnya, hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Meth dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Kesemua suspek kini direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat