MANAMA (Bahrain): Kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pemimpin asing yang melawat negara daripada bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, sebarang dakwaan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu tidak perlu dilayan.
“Jangan ambil serius. Jika pemimpin asing mahu bertemu, apa masalahnya? Jika kawannya mahu bertemu, tiada isu, tetapi tiada yang meminta.
“Baru-baru ini, pemimpin dari Thailand, Jepun, Indonesia dan Turki melawat Malaysia tetapi tiada yang meminta untuk bertemu dengan Dr Mahathir. Jika mereka mahu, saya tidak akan mengatakan tidak. Tiada salahnya,” katanya memetik laporan NST Online.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menamatkan lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.
Dr Mahathir telah mendakwa dalam satu temu bual podcast bahawa kerajaan pimpinan Anwar telah menghalang beberapa pemimpin asing daripada bertemu dengannya.
Beliau mendakwa bahawa pemimpin yang dihalang itu adalah kawannya sendiri.
Sebagai maklum balas, Anwar berkata, dakwaan sebegitu tidak sepatutnya dijadikan isu.
“Jangan layan. Setiap hari dia membuat tuduhan, mendakwa dia tidak mempunyai wang tetapi anak-anaknya mempunyai lebih daripada RM1 bilion. Itu bukan tuduhan, itu pengakuan dan saya tidak tahu bagaimana dia mencari wang tetapi tidak menemui apa-apa di bawah televisyen,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum ini berkata, dua anak Dr Mahathir memiliki aset bernilai lebih daripada RM1.2 bilion.
Menurut pengisytiharan aset yang dihantar kepadanya, Tan Sri Mokhzani Mahathir mempunyai aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir mempunyai RM246.2 juta aset.