Tiga dicekup jadikan kereta, kondo tempat simpan dadah lebih RM3 juta

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga individu warga tempatan selepas penemuan dadah bernilai lebih RM3 juta di sini pada Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 33 hingga 46 tahun itu diberkas dalam operasi khas membabitkan empat serbuan berasingan.

“Serbuan pertama dilakukan selepas pemerhatian di kawasan parkir di sebuah kondominium, yang mana dua suspek telah ditahan.

“Setelah kereta mereka diperiksa, kami menemui bahagian yang diubah suai di dalam kereta dan menemui bungkusan dadah,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di sini pada Jumaat.

Susulan penahanan awal itu, M Kumar berkata, polis melakukan tiga lagi serbuan di lokasi berbeza dan mendedahkan operasi penyimpanan dadah yang tersembunyi di kediaman.

“Kami kemudian menyerbu sebuah lagi unit kondominium di lokasi sama, yang mana kami menemui lebih banyak dadah. Kami percaya unit ini adalah kediaman mereka.

“Ini seterusya membawa kepada serbuan di kondominium lain yang berada dalam jarak lima kilometer, sebelum kami menemukan lebih banyak dadah. Kami percaya unit itu digunakan sebagai tempat penyimpanan dadah.

“Serbuan terakhir adalah di sebuah rumah yang mana ia juga membawa kepada penemuan bahan terlarang itu dan penahanan suspek ketiga,” katanya.

M Kumar berkata, polis masih menyiasat pemilikan kenderaan itu serta hartanah yang disewa.

Ketiga-tiga suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau, dengan seorang daripadanya merupakan buruan polis dan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan atas kesalahan memeras ugut.

“Kami percaya dalang sindiket ini yang aktif sejak Januari lalu sudah pun ditangkap. Namun, kami mengesyaki masih ada lagi anggota yang bebas termasuk yang bertanggungjawab mengedar dadah,” katanya sambil menambah dadah yang dirampas itu dipercayai bertujuan untuk pasaran tempatan.

Jelas M Kumar, serbuan itu menyaksikan rampasan dadah bernilai RM3.2 juta, cukup untuk digunakan oleh 234,000 individu.

Katanya, dadah yang dirampas termasuk 28.49 kilogram (kg) ketamin, 10.36kg syabu, 4.97kg kanabis, 2.59kg serbuk ekstasi, 4.93kg pil Erimin 5, 2.18kg pil ekstasi dan 780 gram serbuk MDMA.

Dalam pada itu, polis turut merampas wang tunai bernilai RM46,540 dan beberapa barangan kemas.

Suspek kini ditahan reman sehingga 27 Februari depan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Anda Mungkin Berminat