Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Baharu sahaja sesi persekolahan dibuka, namun masyarakat telah dihidangkan dengan satu isu membabitkan seorang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipercayai dibuli oleh pelajar arus perdana di sekolah.
Perkongsian itu dibuat oleh bapa kepada mangsa terbabit di laman X, mendapati baju anaknya itu telah dicontengkan dengan sengaja.
“Ya anak aku istimewa dan jenis diam tak kacau orang. Ada pula anak-anak yang mungkin dah selalu parents anggap ‘biasalah budak’ so anggap ini normal.
“Maaf tidak. Hari ini conteng, esok lusa gunting atau koyak baju, sepak terajang kita pun tidak tahu.
“Anak aku tahu nama budak tu sebab dia cepat ingat nama atau muka.
“Cuma aku rasa macam biasa sampai dekat empunya budak, mana nak ngaku. Harap ibu bapa budak itu tidak akan cakap awal-awal, ‘anak saya tak buat semua ni’,” kongsi _fadali (bapa mangsa) di aplikasi X baru-baru ini.
Menurutnya, dia terus mengusulkan kejadian tersebut kepada Guru Penolong Kanan (GPK) dan guru disiplin untuk mengambil tindakan lanjut kepada pihak pelaku yang terlibat supaya perkara sebegini tidak dipandang remeh.
Netizen turut memohon ada tindakan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) agar turut mengambil tindakan tegas.








