PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas bekas Duta Besar ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Nazri Aziz berkenaan isu suara orang Melayu.
Katanya, kenyataan Nazri bahawa UMNO mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu seolah-olah menidakkan parti itu sendiri.
“Saya nak tanya juga, adakah kamu mewakili sebahagian besar suara orang Melayu? Mungkin kamu dah lupa, yang kamu bukan berada di Amerika lagi sebab kontrak tidak disambung lagi.

“Saya nak ingatkan bahawa kamu kini berada di Malaysia yang bangsa majoritinya adalah bangsa Melayu dan agama Islam adalah agama persekutuan. Maka tanggungjawab kami pemuda UMNO menjaganya dan mempertahankannya,” katanya di Facebook pada Ahad.
Terdahulu, menerusi wawancara bersama Malaysiakini, Nazri menegaskan pandangan Akmal tidak mencerminkan keseluruhan parti kerana hanya mewakili satu daripada empat sayap utama UMNO.
Menurutnya, UMNO di dalam parlimen hanya mempunyai 26 kerusi dan Akmal hanya mewakili satu perempat daripada UMNO.
Justeru, katanya lagi tidak semua ahli UMNO berfikiran seperti Akmal yang lebih keras berbanding Presiden UMNO sendiri terutamanya dalam beberapa isu yang menjejaskan hubungan dengan parti dalam kerajaan, terutamanya DAP.
Baca juga: