Pahang anjur Himpunan Solidariti kepada institusi diraja Khamis ini

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan ‘Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ pada Khamis ini sebagai tanda solidariti rakyat kepada Institusi Diraja Pahang.

Program itu bertujuan memperkukuh penyatuan rakyat Pahang di bawah naungan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau fahaman politik.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, program itu akan bermula pukul 7 petang di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.

“Ia akan dimulai dengan solat Maghrib, solat hajat, bacaan surah Yasin, doa selamat dan solat Isyak.

“Seterusnya, program akan diteruskan di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) dengan ceramah oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin.

“Baginda Sultan Pahang turut berkenan berangkat ke program di Masjid Negeri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zulkifli turut mengajak orang ramai untuk hadir dan digalakkan mengenakan pakaian kebangsaan.

“Sebarang pakaian berlambangkan atau mewakili mana-mana parti politik tidak dibenarkan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan sepanjang program tersebut,” tambahnya.

Beliau juga menasihati orang ramai untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni.

“Kerajaan negeri berharap pelaksanaan program ini akan mencapai objektif penyatuan rakyat dalam memartabatkan Institusi Raja Berdaulat di negeri ini,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat