Oleh: Aliyaa Azmi
SEKALI lagi di bulan Ramadan, ‘pertikaian’ resipi yang dibuat oleh usahawan popular dan pempengaruh, Khairul Aming, menjadi bahan pendebatan netizen setelah pakar nefrologi, Dr Rafidah Abdullah memuat naik komen ringkas namun ‘berbisa’.
Bermula dengan empat resipi minuman di media sosialnya yang sangat menggiurkan telah menarik minat ramai peminat setianya.
Untuk video Ramadan hari pertama, Khairul Aming menunjukkan cara membuat empat jenis minuman; Vanilla Sarsi, Teh Bunga Zapple, Vitagen Longan dan Kopi Santan Vietnam.
Dr Rafidah, yang terkenal dengan pendiriannya yang tegas mengenai pemakanan sihat, memetik hantaran tersebut di Twitter (X) dengan komen: “Saya berbuka dengan air kosong. Alhamdulillah, haus hilang dan tiada risiko kencing manis.”
Kenyataan itu pantas tular dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Bagi sesetengah pihak, reaksinya dianggap sinis, tidak wajar, dan seolah-olah satu sindiran terhadap kandungan Ramadan yang dikongsi oleh usahawan tersebut.
Ada yang berpendapat bahawa Khairul Aming sekadar berkongsi resipi untuk memberi idea berbuka puasa dan apa yang dimakan sepanjang Ramadan adalah pilihan individu masing-masing.
Sebaliknya, penyokong Dr Rafidah percaya mesejnya penting sebagai peringatan untuk membuat pilihan makanan yang lebih sihat, terutamanya ketika Ramadan.
Ringkasnya, perdebatan ini mencetuskan pelbagai reaksi. Ada juga yang mengambil pendekatan humor dengan menghasilkan meme dan jenaka.

Ini bukan kali pertama mereka berbeza pendapat mengenai pemilihan makanan.
Dua tahun lalu, perbincangan serupa berlaku apabila Khairul Aming memuat naik resipi Ramadan yang dikritik oleh Dr Rafidah kerana terlalu berminyak.
Khairul Aming mempertahankan resipinya dengan menyatakan bahawa jika jumlah minyak dikurangkan, makanan tidak akan terasa enak.
Tambahnya lagi, setiap orang bebas untuk makan apa sahaja, asalkan dalam kadar sederhana.
Sehingga kini, Khairul Aming belum memberikan sebarang reaksi terhadap komen Dr Rafidah.
Baca juga: