PENYANYI pop sensasi, Tate McRae mencipta sejarah dengan albumnya, So Close to What apabila menduduki tangga teratas carta Billboard 200, sekali gus menjadi album No. 1 pertamanya di Amerika Syarikat.
Album studio ketiga penyanyi kelahiran Kanada itu dilancarkan pada 21 Februari lalu menampilkan hits seperti Revolving Door, It’s OK I’m OK dan Sports Car.
Persembahan memukau McRae di Saturday Night Live minggu lalu dengan lagu Sports Car dan Dear God menarik perhatian peminat dan industri muzik.
Menurut Billboard, So Close to What mengumpul 177,000 unit album setara, sekali gus mencatat minggu pelancaran terbesar bagi album studio artis wanita sejak Short N’ Sweet oleh Sabrina Carpenter.
Menariknya, McRae menderma hasil jualan tiket acara pelancaran album di Kia Forum, Los Angeles yang disiarkan secara langsung di TikTok kepada FireAid untuk pemulihan kebakaran hutan di Los Angeles.
Bersiap sedia untuk jelajah dunia Miss Possessive yang melibatkan 82 persembahan di bandar utama seperti Mexico City, São Paulo, London, Amsterdam, Prague dan New York dan jelajah itu akan berakhir di Kia Forum pada November tahun ini.