RUU Perkhidmatan Parlimen: Keberanian PM perkukuh institusi Parlimen

PARLIMEN | Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memuji kepimpinan serta sikap progresif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuhkan institusi Parlimen selepas 33 tahun.

Beliau merujuk kepada kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya, langkah itu adalah kejayaan besar dalam usaha reformasi institusi negara di bawah Kerajaan MADANI, terutama selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 pada tahun 1992.

Perdana Menteri sebelum ini menyatakan bahawa pindaan itu bertujuan mengukuhkan doktrin pengasingan kuasa bagi memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan legislatif yang benar-benar bebas, berwibawa dan berdaya saing.

Katanya, tanpa kawalan berlebihan oleh mana-mana pihak, keadilan dapat ditegakkan, kebebasan terus dipelihara dan kuasa tidak disalahgunakan, sekali gus menjadi asas kepada negara yang telus serta berintegriti.

Nga turut mempersoalkan tindakan 57 ahli parlimen pembangkang yang tidak mengundi serta 17 lagi yang tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat dalam menentukan hala tuju reformasi institusi demokrasi negara.

Beliau menegaskan bahawa semua ahli Parlimen bertanggungjawab memastikan sistem pentadbiran negara sentiasa diperkukuhkan demi kebaikan rakyat dan negara.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 diluluskan di Dewan Rakyat pada 4 Mac dengan sokongan 148 ahli Parlimen.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat