Oleh: Zulqarnain Lukman
‘DOUBLE standard DJ Era dan Harith Iskander’ – Begitulah yang dimainkan naratif bahawa kerajaan bersikap ‘double standard’. Bila Islam dihina lambat saja ambil tindakan. Bila Hindu dihina cepat saja pergi minta maaf dan hantar notis nak tarik balik lesen penyiaran era. Time KK Mart isu stoking tak nak pula tarik balik lesen.
Keadaan sebegini adalah tidak benar. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan undang-undang mesti saksama dan tidak diskriminasi.
Dalam kes menghina agama ini pelbagai undang-undang yang terlibat. Setiap undang-undang itu pula ada bidang kuasa masing-masing walaupun subjek undang-undang itu sama iaitu menghina agama.

Dalam kes KK Mart misalnya, mereka didakwa di bawah S. 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya. Kesalahan itu melihatkan perbuatan dengan sengaja ingin melukakan perasaan keagamaan mana-mana orang. Jumlah denda pun tidak disebut dalam S. 298 ini.
Berbanding dengan radio ERA yang beroperasi dengan lesen oleh SKMM. Maka selain kuasa untuk menyiasat di bawah S. 233 Akta SKMM iaitu menyiarkan perkara yang jelik, SKMM juga mempunyai kuasa ke atas lesen. Dalam kes KK Mart mana ada lesen penyiaran. Diorang hanya ada perlu daftar perniagaan dengan SSM dan terus boleh berniaga. Bagi premis pula ada lesen premis yang terletak dalam bidang kuasa majlis perbandaran atau dewan bandaraya.

Timbul pula apabila kes DJ Era ini tular, SKMM mengeluarkan denda RM10,000 kepada Harith Iskander dan Cecilia Yap. Berbetulan sungguh dengan kes DJ Era ini. Jadi orang nampak kes Harith ini seperti lambat benar nak ambil tindakan berbanding kes DJ Era.
Sebenarnya kes Harith itu berlaku 18.1.2025 dan pada 5.3.2025 SKMM mengeluarkan kenyataan denda kompaun telah dikenakan. Tempoh masa yang diambil itu tidak sampai pun 2 bulan.
Kes DJ Era ini pula baru 2-3 hari ini berlaku. Tunggulah lagi 2-3 bulan baharulah tahu berapa denda.
SKMM pula telah sebut, kes Harith itu didenda ikut peruntukan akta lama yang belum dipinda sebab masa Harith buat posting itu seksyen itu belum dipinda.

Sebelum pindaan denda maksima adalah RM50,000 tetapi selepas pindaan denda sudah naik 10 kali ganda kepada RM500,000. Nanti adalah tu yang tak puas hati jika DJ Era itu didenda lebih tinggi daripada Harith. Jumlah kompaun RM10,000 itu bersamaan dengan 20 peratus daripada jumlah denda RM50,000. Jadi kemungkinan nanti DJ Era itu akan didenda RM100,000 jika melihat kepada denda maksima RM500,000.
Jika dibandingkan antara kes Harith/ Cecilia Yap ini adalah berbeza fakta dengan kes DJ Era. Tetapi ada orang termasuklah yang dikatakan cerdik pandai agama pun konfius. Kes Harith itu melibatkan tulisan di Facebook. Semua orang kenal Harith tetapi kita sampai sekarang sukar nak cari muka Cecilia. Kat situ pun sudah ambil masa untuk siasat.

Dalam kes Harith ini selepas hal tersebut tular, Harith tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Ini tindakan yang bagus dari segi perundangan kerana apa-apa kenyataan berikutnya mungkin memakan diri sendiri.
Cuba bandingkan dengan kes DJ Era. Tak sampai sehari berita itu tular, keluar pula video dan tulisan mereka meminta maaf. Tidak cukup dengan itu, diorang bertiga pergi pula berjumpa seorang pengerusi NGO Hindu di Batu Caves meminta maaf.
Pengerusi NGO itu pula cakap boleh minta maaf tetapi mahu tindakan undang-undang diteruskan. Maka, golongan cerdik pandai ini ada yang ‘trigger’ dengan kenyataan seperti itu. Sebenarnya permohonan maaf itu tidak membersihkan diri seseorang daripada perbuatan jenayah undang-undang. Cuma, mungkinlah permohonan maaf itu akan mengurangkan atau mitigasi denda yang dikenakan.
Jadi kalau dibandingkan proses siasatan ke atas Harith itu lebih rumit dan memakan masa kerana Harith membuatnya dalam bentuk tulisan dan Harith tidak membuat apa-apa komen susulan. DJ Era ini pula membuatnya dalam bentuk video. Cara video ini lebih mudah disiasat kerana di situ sudah terpapar niat mereka. Tambahan lagi dengan tindakan mereka meminta maaf dan pergi berjumpa pengerusi NGO Hindu itu memburukkan lagi keadaan. Sebab itulah proses siasatan pihak berkuasa akan menjadi lebih mudah kelak.

Ini yang diputar oleh netizen dan menuding jari kepada kerajaan kerana kononnya jika Islam dihina lambat ambil tindakan. Jika agama lain dihina cepat tindakan diambil. Tambahan lagi buat ‘clickbait’ seperti, “Umat Islam sedang bersabar menyaksikan bagaimana urusan agama Islam tidak diurus dengan adil” ‘Clickbait’ seperti ini pun sudah mendapat 13,000 perkongsian.
Jika kita lihat mereka yang kongsi pula bukanlah sebarangan. Ramai cerdik pandai agama yang kita kenal kongsi ‘clickbait’ sampah seperti ini. Begitu mudah orang buat kesimpulan pada zaman ini. Malah, cerdik pandai agama pun boleh terpedaya dengan ‘clickbait’ yang mengajak kepada permusuhan. Mudah sungguh syaitan menghiasi sesuatu amalan buruk menjadi baik.

Jentera penerangan kerajaan pula seakan tidak berupaya untuk menangkis dan memberikan pencerahan sebenar. Sepatutnya jurucakap kerajaan iaitu YB Fahmi Fadzil patut membuat siaran video lepas tarawih malam tadi lagi untuk memberikan rasa aman dan tenang netizen terhadap hal ini.
Tetapi YB Fahmi Fadzil ini buat seperti tiada apa-apa yang berlaku dan begitulah cara dia bekerja selama ini. ‘Slow-slow’ dan pelan-pelan. Sepatutnya YB Fahmi Fadzil ini gunakanlah segala sumber AI, semi conducter dan apa-apa lagi teknologi untuk bantu dia lebih cergas dan bertenaga.
Apa pun bagi kita umat Islam yang sedang berpuasa ini sepatutnya bersederhana kerana bersederhana itulah yang terbaik. Bersederhanalah dalam menerima apa-apa maklumat. Fikir betul-betul. Jangan tohmah sebarangan dan sebar pula tohmahan itu.
Memang tepat apa yang diriwayatkan daripada internet:
“Fitnah itu dimulakan oleh sang si pembenci, dipanjangkan oleh sang si pendaif dan diterima bulat-bulat oleh sang si bodoh”
Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW membawa maksud: “Ketenangan datangnya dari Allah, sedangkan tergesa-gesa datangnya dari syaitan.”(Riwayat al-Baihaqi)
***Penulis adalah peguam
Baca juga: