Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Kerajaan mengambil langkah proaktif dalam menghadapi cuaca panas dan kering yang dijangka berlaku dalam fasa akhir Monsun Timur Laut sehingga pertengahan Mac ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) telah diadakan bagi meneliti keadaan cuaca serta tindakan pencegahan yang perlu diambil.
Menurutnya, antara langkah utama adalah pemantauan berterusan oleh kementerian dan agensi berkaitan untuk mengawal pembakaran terbuka, selain memastikan kesiapsiagaan infrastruktur pemadaman kebakaran tanah gambut.

“Kerajaan Negeri turut digesa membangunkan infrastruktur bagi mengelakkan kebakaran tanah gambut, selain memastikan tindakan pencegahan dilaksanakan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga akan memastikan laporan kualiti udara disebarkan kepada orang ramai melalui aplikasi seperti myCuaca dan MyIPU serta laman web rasmi MET Malaysia.
Nik Nazmi turut memaklumkan bahawa negara bakal menghadapi Monsun Barat Daya sekitar Mei hingga September, yang dijangka membawa cuaca lebih panas dengan taburan hujan berkurangan di beberapa kawasan.
Dalam tempoh ini, pemantauan terhadap aktiviti pembakaran terbuka akan dipertingkat bagi mengelakkan risiko jerebu, terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan ASEAN bagi menangani isu jerebu rentas sempadan serta memastikan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Baca juga: