RUU Parlimen: Keberanian Madani dan teori “kuda mati” pembangkang

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN: Gelombang perbahasan di Parlimen agak panas minggu ini, isu utama yang dibahaskan adalah berkaitan pindaan Perlembagaan membabitkan satu Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen(RUU Parlimen).

RUU Parlimen ini bertujuan mengembalikan semula maruah dan kuasa badan pengubal undang-undang selepas dilucutkan pada 1992 oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Parlimen pada ketika itu diletakan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang menyaksikan perjalanan dan hala tuju ketika itu seolah-olah dikawal oleh pemerintah.

Dengan keterbatasan kuasa dan kewangan perjalanan Parlimen nampak seperti dikawal oleh kuasa eksekutif.

Semua ini menjejaskan kredibiliti Parlimen selaku badan tertinggi yang mengubal undang-undang negara.

Dan perkara terpenting yang mendorong Kerajaan Madani yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah pengasingan kuasa. Perkara ini dapat membantu dalam mengelakkan konflik kepentingan di antara pihak eksekutif dan perundangan.

Nampak perkara ini memberi kejelasan tentang batasan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Selain pengasingan kuasa, RUU Parlimen ini juga mampu meningkatkan kecekapan dan profesionalisme.

RUU Parlimen ini mampu memperbaiki dan memperkemaskan prosedur perkhidmatan dalam Parlimen. Ini dapat memudahkan urusan Parlimen dan membuatkan proses pengundian serta perbahasan lebih teratur.

Tidak dapat dinafikan bahawa RUU Parlimen juga menampakkan ketelusan dan akauntabiliti. Dengan penggubalan ini dapat menjelaskan tentang hak dan tanggungjawab anggota Parlimen dan kakitangan Parlimen.

Meningkatkan Kesejahteraan Pekerja: RUU ini berpotensi untuk menawarkan hak-hak pekerja yang lebih baik, seperti cuti, elaun, dan faedah yang lebih jelas bagi pegawai dan kakitangan Parlimen.

Selama ini juga sering kedengaran rungutan Ahli-ahli Parlimen tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang. Di mana dalam mengemukakan hujah yang bernas agak sukar kerana mereka tiada pasukan penyelidik yang membantu menghadamkan sesuatu topik perbahasan.

Akhirnya sepertimana yang rakyat dipertontonkan saban kali sidang Parlimen adalah lawak jenaka, seksis, hujah-hujah falasi yang bersifat peribadi dan perkauman.

Kebodohan-kebodohan inilah yang menjadi perhormatan rakyat terhadap institusi pengubal undang-undang ini makin pudar. Paling membimbangkan rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi yang diamalkan negara.

Keberanian Kerajaan Madani

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan lebih dua tahun lalu, Kerajaan Perpaduan Madani berdepan dengan pelbagai sindiran dan didakwa gagal melaksanakan reformasi yang pernah menjadi slogan lebih 25 tahun lalu.

Benar mengkritik lebih mudah daripada melaksanakan amanah, ‘Kota Rome, tidak dibina dalam satu malam’, antara hujah yang biasa didengar untuk melunakkan kritikan yang dihalakan.

Ironinya kerajaan ini tidak bersifat semborono dalam menjalankan reformasi. Pengalaman 22 bulan boleh dijadikan asas bahawa tindakan drastik bakal menerima padah yang parah.

Konsep “Kerajaan Madani” yang diperkenalkan oleh PMX menekankan pada prinsip keadilan, kesederhanaan, dan keterbukaan dalam pentadbiran negara.

Berbekalkan kepada prinsip keadilan maka RUU Parlimen ini adalah langkah berani untuk mengubah sistem yang telah lama wujud. Parlimen adalah institusi tertinggi yang menentukan bagaimana negara ini dicorakkan.

Tanpa perubahan di Parlimen, bagaimana kerajaan bersedia menangani isu-isu sensitif seperti ketidaksamarataan ekonomi, pendidikan, dan pembaharuan dalam struktur kewangan negara. Ini termasuk usaha untuk menambah baik sistem kesejahteraan sosial dan memberi lebih perhatian kepada golongan yang terpinggir.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa RUU Parlimen ini digubal kerana mengutamakan keberanian moral dan integriti.

Dengan RUU Parlimen ini, kerajaan menunjukkan keberanian moral dengan menekankan integriti dan ketelusan dalam setiap urusan kerajaan, termasuk dalam pembentukan polisi awam.

Kerajaan ini berusaha untuk mewujudkan sistem yang lebih adil dan berteraskan nilai-nilai murni, meskipun berhadapan dengan cabaran politik dan sosial.

Namun, kritikan terhadap keberanian kerajaan ini juga ada, terutamanya berkaitan dengan kesukaran dalam melaksanakan perubahan besar dengan cepat, serta tekanan daripada pihak yang tidak bersetuju dengan reformasi yang dibawa.

Banyak pihak mungkin melihat beberapa keputusan kerajaan sebagai langkah yang tidak mencukupi atau terlalu berisiko.

Secara keseluruhan, keberanian Kerajaan Madani boleh dilihat dalam komitmennya untuk memperkenalkan perubahan yang progresif dan berlandaskan nilai keadilan sosial, meskipun menghadapi pelbagai rintangan.

Teori Kuda Mati Pembangkang

Adalah tidak menghairan apabila pembangkang menolak atau berkecuali dalam RUU Parlimen ini.

Penolakan terhadap RUU juga boleh berlaku sebagai sebahagian daripada strategi politik untuk menunjukkan ketidaksepakatan dengan dasar kerajaan.

Pembangkang mungkin menggunakan penolakan ini sebagai cara untuk menonjolkan perbezaan mereka dengan kerajaan, walaupun mereka sendiri mungkin menyedari bahawa perubahan itu diperlukan. Dalam hal ini, ia lebih berkait dengan strategi dan permainan politik, bukannya penolakan perubahan itu sendiri.

Pembangkang berhak untuk menolak, tetapi rakyat diluar juga berhak untuk ‘pelik’ bagaimana pembangkang boleh menolak satu rang undang-undang yang mahu mengangkat dan memelihara kepentingan mereka.

Tidak dinafikan bahawa pembangkang ada hujah dan kebimbangan, antaranya pembaziran dana awam dan potensi penyalahgunaan kuasa.

Jika tidak dilaksanakan dengan berhati-hati, RUU Parlimen ini mungkin memberi terlalu banyak kuasa kepada pihak tertentu dalam Parlimen, yang boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan kurangnya pengawasan.

Hujah-hujah ini lebih kepada mengelak untuk membincangkan perkara asas dalam RUU Parlimen ini.

Helah pembangkang ini bolehlah dikaitkan dengan ‘Teori Kuda Mati’, yang mana teori ini menekankan bagaimana banyak orang dan organisasi lebih suka menafikan kenyataan, membazirkan masa, sumber daya, dan usaha pada penyelesaian yang tidak berkesan, daripada mengakui masalah dari awal dan membuat keputusan yang lebih bijak dan berkesan.

Teori adalah metafora satira yang menggambarkan bagaimana sesetengah individu, institusi, atau negara menangani masalah yang jelas dan tidak dapat diselesaikan. Bukannya menerima kenyataan, mereka terus berusaha untuk membenarkan tindakan mereka.

Inti pati ideanya mudah: jika anda menyedari bahawa anda sedang menunggang kuda yang mati, perkara yang paling masuk akal adalah turun dan bergerak ke hadapan.

Namun, dalam amalan, perkara yang sebaliknya sering berlaku. Bukannya meninggalkan kuda mati itu, orang sering mengambil tindakan seperti membeli pelana baru untuk kuda itu.

Atau mengadakan mesyuarat untuk membincangkan cara meningkatkan kelajuan kuda yang mati.

Kumpulan ini bekerja berbulan-bulan, menyusun laporan, dan akhirnya menyimpulkan perkara yang jelas: kuda itu sudah mati.

Lebih parah mereka mendefinisikan semula konsep ‘mati’ untuk meyakinkan diri sendiri bahawa kuda itu masih mempunyai potensi.

Inilah yang berlaku di Parlimen minggu lalu, pembangkang menolak RUU Parlimen, terutamanya jika dilihat dari sudut ketegaran atau penolakan terhadap perubahan walaupun terdapat keperluan jelas untuk pembaharuan.

Dalam kes ini, pembangkang yang menentang RUU tersebut mungkin dianggap seperti “menunggang kuda mati” jika mereka menolak reformasi tanpa mempertimbangkan manfaat atau perubahan positif yang boleh dibawa oleh RUU itu.

Walaupun masalah dalam sistem perkhidmatan parlimen mungkin sudah jelas, jika mereka terus mempertahankan status quo atau menolak perubahan tanpa melihat potensi pembaikan.

Tindakan pembangkang ini mirip dengan tindakan membeli pelana baru atau mengadakan mesyuarat tanpa menyelesaikan masalah sebenar.

Umumnya jika diamati dalam kes RUU Parlimen ini, teori ini secara langsung memberikan gambaran yang berguna mengenai ketegaran terhadap perubahan.

Pokok pangkalnya, perkara yang perlu dinilai dalam konteks yang lebih luas untuk memahami sama ada penolakan itu benar-benar tidak beralasan atau jika ia merupakan sebahagian daripada proses perbincangan dan semakan yang sihat.

Dan dapatan umum juga mendedahkan bahawa ‘bodoh itu percuma’.

**** Penulis merupakan bekas pengarang di Suara Keadilan dan Selangorkini. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat