KOTA TINGGI: Satu kemalangan maut telah berlaku di Batu 17, Jalan Kota Tinggi Mersing, Johor, malam tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah kereta Proton Saga Aeroback dan sebuah treler bersendi.
Pasukan Alpha Selatan yang diketuai oleh Saiful Afiz bersama lapan anggota segera bergegas ke tempat kejadian.
“Dalam kejadian tragis ini, dua mangsa terlibat.
“Salah seorang mangsa, pemandu Proton Saga yang berbangsa Pakistan telah tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kota Tinggi.

“Manakala, pemandu treler hanya mengalami cedera ringan.
“Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis Kota Tinggi,” menurut satu kenyataan.
Selain itu, katanya, anggota bomba turut membantu membersihkan minyak yang tertumpah di jalan raya bagi memastikan keadaan jalan selamat digunakan.