Kawasan yang terkenal sebagai pusat peranginan popular, Bali terpaksa diisytiharkan darurat selama dua minggu akibat kemarau dan kebakaran teruk.
Menurut laporan media tempatan, The Jakarta Post, keputusan itu dibuat oleh Pemangku Gabenor Bali, SM Mahendra Jaya kerana bimbang keselamatan nyawa penduduk setempat.
Katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan berjaga-jaga berikutan kemarau berpanjangan dan peningkatan kebakaran tanah dan hutan.
“Semua daerah dan bandar di seluruh wilayah itu, termasuk Denpasar, Badung, Bangli, Buleleng, Gianyar, Jembrana, Karangasem, Klungkung dan Tabanan.
“Darurat itu berkuat kuasa sehingga 1 November dan boleh dilanjutkan atau dipendekkan mengikut keperluan,” ujarnya.
Kemarau melampau melanda kawasan itu sejak Julai lalu dengan anggaran sekurang-kurangnya 113 banjar (kampung tradisional) menghadapi krisis air bersih terutama di Buleleng, Jembrana dan Karangasem.
Musim kemarau yang berpanjangan di Bali disebabkan oleh fenomena cuaca El Nino yang turut mengakibatkan banyak kebakaran hutan dan tanah.
Dianggarkan, sekurang-kurangnya tujuh kebakaran hutan dilaporkan antara Julai dan Oktober iaitu dua di Buleleng, empat di Karangasem dan satu di Bangli.
Tiga kemudahan tapak pelupusan yang menyediakan perkhidmatan sisa penjagaan kesihatan turut terbakar dan pihak berkuasa masih bergelut untuk memadamkan kebakaran selepas lebih seminggu, termasuk di tapak pelupusan sampah terbesar di Bali di Suwung, Denpasar.