PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pakar keselamatan siber tempatan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memperkukuhkan ekosistem keselamatan siber negara.
Beliau yakin dengan tahap kepakaran negara dalam menghadapi cabaran keselamatan siber dan menekankan kepentingan keselamatan siber sebagai keutamaan negara.
Anwar berkata, ancaman siber semakin meningkat sejajar dengan kebergantungan kepada teknologi dalam kehidupan seharian.
“Kerajaan, sektor swasta dan rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan Malaysia berdaya tahan menghadapi cabaran keselamatan siber,” katanya.
Difahamkan, Mesyuarat Keselamatan Siber turut membincangkan penurunan insiden keselamatan siber dari tahun 2023 hingga 2024 dan pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024.
“Status pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854] di mana pelaksanaan Akta 854 ini terus diperkukuhkan melalui tambahan pelantikan ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII),” katanya.
Selain itu, katanya, persidangan peringkat ASEAN anjuran bersama NACSA, Council of Europe dan INTERPOL mengenai jenayah siber akan diadakan pada bulan Mei 2025.