PETALING JAYA: Kerajaan sedang merancang langkah-langkah berkesan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat terutama dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang mampan dan bekalan keperluan asas pada harga berpatutan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai strategi telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk menangani cabaran tersebut secara menyeluruh.
“Antara fokus utama mesyuarat termasuk usaha mengawal kenaikan premium insurans dan takaful perubatan, memastikan bekalan makanan mencukupi menjelang Ramadan dan Syawal serta memperkukuh perlindungan sosial dan pemadanan pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
“Beberapa langkah telah dirangka, termasuk pengagihan kadar pelarasan premium insurans kesihatan, penangguhan kenaikan premium dan pembangunan produk insurans kesihatan yang lebih mampu milik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan juga memperkukuh program jualan murah seperti ‘Jualan Rahmah Madani’ dan ‘Jualan Pra Syawal di Pasar Tani’ untuk memastikan rakyat dapat memperoleh barangan keperluan pada harga yang berpatutan menjelang musim perayaan.
Tambah beliau, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui tindakan bersepadu dan berkesan.
“Langkah-langkah yang telah dibincangkan dalam mesyuarat ini akan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, Insya-Allah,” ujarnya.