Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Tidak lengkap persiapan lebaran tanpa biskut raya untuk dihidangkan kepada tetamu.
Kebiasaannya, orang ramai memborong biskut raya di bazar Ramadan atau membuatnya sendiri di rumah.
Namun, biskut raya hasil tangan penghuni penjara di Galeri Jualan Produk My Pride Seksyen Vokasional & Industri bawah Jabatan Penjara Malaysia kini menjadi rebutan terutama dalam kalangan ibu-ibu.
Di TikTok, pengguna Shanaz ns berkongsi video beliau membeli biskut raya di Penjara Kajang.
Video tersebut memaparkan pelbagai jenis biskut raya dan kerepek yang dijual pada harga mampu milik antaranya semperit, popia manis, tart nenas, suji salju dan ‘black button cookies’.
Mengenangkan nasib penghuni penjara yang terpisah daripada dunia luar termasuk keluarga, biskut yang dihasilkan ini memberikan makna tersendiri.
“Kuih raya bukan sekadar manis di mulut, tapi juga manis di hati. Bantu beri peluang kedua dengan setiap pembelian,” tulis Shanaz.
Netizen turut memuji rasa biskut-biskut tersebut di ruangan komen.
Azham menulis, “Memang sedap. Semalam beli dah, Peberet tart nenas cheese memang terbaik.”
Nur turut berkongsi, “Betul semua sedap dan harga memang mampu beli.”
Sementara itu, Penjara Official di TikTok berkongsi bahawa jualan biskut raya di Galeri MyPride berlangsung dari 2 Mac hingga 28 Mac 2025 dan dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang.
Lebih 40 jenis biskut raya dijual pada harga antara RM12 hingga RM26.