Isu 3R: Pendidikan Asas Perlembagaan, Rukun Negara Perlu Diperkuat

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia perlu memahami dan menghargai asas-asas penting yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara kata, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

Beliau yang juga Penganalisis Politik dan Keselamatan dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, penerangan lanjut mengenai isu 3R (Kaum, Agama, Raja) tidak sepatutnya diperlukan kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Setiap rakyat Malaysia perlu kembali kepada prinsip asas yang telah diikat dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Sekiranya terdapat salah faham yang tidak disengajakan atau disebabkan oleh berita palsu, maka rekonsiliasi (proses penyelesaian) damai perlu dilakukan dalam kalangan masyarakat, khususnya di media sosial,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau turut menekankan bahawa setiap negara memiliki identiti tersendiri yang berasaskan undang-undang dan nilai sejarah masing-masing.

“Tidak wajar sekiranya Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dilanggar atas alasan untuk menjadi lebih moden dan terbuka,” tambahnya.

Dr Noor Nirwandy juga menyeru agar media sosial digunakan sebagai medium penyebaran kefahaman mengenai isu ini, selain menggalakkan teguran dan bimbingan kepada mereka yang kurang memahami prinsip tersebut.

Ujar beliau, tindakan undang-undang harus diambil terhadap mereka yang sengaja mencetuskan provokasi atau menggugat perpaduan negara.

“Kita perlu membentuk algoritma perpaduan yang berasaskan identiti negara.

“Jika ada pihak yang cuba mengubah identiti negara atau mencipta rekonsiliasi palsu yang berunsur provokasi, ini hanya akan mewujudkan gangguan kepada perpaduan nasional,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berperanan sebagai pemantau bagi memastikan undang-undang dipatuhi.

Namun, lebih penting, katanya, rakyat sendiri perlu memahami aspirasi pembentukan negara dan mendukung kembali falsafah Perlembagaan serta Rukun Negara dalam semua aspek kehidupan termasuk di media sosial.

“Kebebasan bersuara harus disertai dengan tanggungjawab dan selari dengan prinsip yang telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” ujar beliau lagi.

Anda Mungkin Berminat