Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kekejaman Israel membuatkan kira-kira 13,900 wanita Gaza menjadi pencari nafkah utama buat keluarga tanpa suami di sisi.
Perkara itu disahkan oleh Biro Statistik Pusat Palestin (PCBS) yang turut menyatakan kesemua wanita Gaza berkenaan menjadi balu akibat kematian suami dan kini terpaksa memikul tanggungjawab sepenuhnya.
“Para ibu di Semenanjung Gaza hidup dalam keadaan tertekan antara mimpi ngeri harian dan kemurungan yang mendalam.
“Mereka juga berjuang untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan air, sementara tidak mampu menyediakan penjagaan kesihatan yang diperlukan untuk anak-anak mereka yang cedera akibat keruntuhan sistem kesihatan Gaza,” kata PCBS dalam satu kenyataan.
Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) memaklumkan lebih daripada setengah juta wanita di Gaza masih tidak mempunyai akses yang mencukupi kepada perancangan keluarga, rawatan untuk penjagaan selepas bersalin dan penyakit berjangkit seksual.
UNFPA turut mendedahkan kira-kira 690,000 wanita Gaza mengalami kekurangan akses kepada barang keperluan kebersihan dan kebanyakan daripada mereka terpaksa hidup tanpa air bersih, kawasan peribadi serta alat sanitasi yang selamat.
Dalam perkembangan yang sama, Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan sekurang-kurangnya 48,515 rakyat Palestin telah terbunuh manakala 111,941 lagi cedera sepanjang jenayah genosid oleh Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.
Baca juga: