PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan bahawa bekalan beras putih tempatan kini tersedia di pasaran seluruh negara.
Beliau berkata, setakat ini bekalan beras di pasaran adalah terkawal dan mengikut jadual, memetik laporan Berita Harian.
“Untuk bekalan beras tempatan, ia sudah berada dan sedang masuk di dalam pasaran.
“Itu yang kita usahakan dan ia mengikut jadual yang ditetapkan.
“Masalah makanan dalam dunia ini sampai kiamat pun tidak selesai, namun ini adalah penyelesaian sementara yang kita buat,” katanya.
Langkah itu diambil oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan bekalan beras tempatan mencukupi untuk pengguna.
Terdahulu, media melaporkan, bekalan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) dijangka berada di pasaran sepenuhnya dalam minggu ini.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras KPKM, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, ketika ini proses pengedaran daripada kilang, pemborong hingga kepada peruncit sedang berjalan.