PETALING JAYA: Pengerusi parti DAP, Lim Guan Eng menolak khabar angin yang mendakwa beliau akan menarik diri daripada menyertai senarai 70 calon yang sudah mengesahkan bertanding.
Menerusi kemaskini di Facebook hari ini, Guan Eng menjelaskan bahawa ia sebagai “laporan media tidak berasas” serta “maklumat palsu”.
Hal ini semakin kuat diperkatakan menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP esok.
“Biar saya jelaskan – Guan Eng tidak akan sekali-kali menarik diri daripada pemilihan.
“Masa depan saya akan ditentukan sendiri oleh ahli DAP.
“Terima kasih kepada ahli parti atas keprihatinan anda. Jumpa anda semua di kongres (esok),” katanya pada Sabtu.
Menjelang detik penentuan di Shah Alam esok, pemilihan kali ini dibayangi oleh pelbagai spekulasi khususnya cubaan mengetepikan Ahli Parlimen Bagan tersebut daripada CEC.
Pernah menjadi setiausaha agung kepada parti berkenaan selama hampir 18 tahun, dalam keadaan tertentu Lim juga dirujuk sebagai “tokong” ekoran pengaruh yang ada padanya.
Seramai 4,203 perwakilan mewakili 1,650 cawangan layak mengundi pada pemilihan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam esok.
Lim dijadual menyampaikan ucapan perasmian selaku pengerusi kebangsaan, diikuti ucapan dasar oleh setiausaha agung, Anthony Loke. Pengundian akan berlangsung sesudah itu.








