Lelaki pukul pelajar, JAIS diarah tarik tauliah jika perlu – Fahmi Ngah

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarahkan untuk menilai semula tauliah mengajar seorang agamawan yang didakwa terlibat dalam insiden keganasan baru-baru ini di Kajang.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, jika disahkan tauliah tersebut perlu ditarik serta-merta bagi menjaga integriti ajaran agama.

Katanya, perbuatan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam tetapi juga mencemarkan imej golongan agamawan.

“Tindakan ini wajib dikecam kerana bertentangan dengan prinsip Islam yang menganjurkan penyelesaian secara rasional dan berdasarkan undang-undang,” tegasnya.

Kes ini melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun yang didakwa memukul pelajar sekolah menengah berumur 17 tahun akibat perselisihan faham di jalan raya.

Mangsa mengalami kecederaan retak tulang hidung dan kini dirawat di Hospital Kajang.

Fahmi turut menyeru agar semua agamawan dan guru yang mendapat tauliah di Selangor sentiasa menjaga akhlak mulia.

“Peranan mereka adalah menjadi contoh teladan kepada masyarakat, bukan sebaliknya.

“Tindakan ganas hanya akan merosakkan imej agama dan para pendidik.

“Segala tindakan haruslah berdasarkan akhlak mulia, pertimbangan yang rasional serta mengikut asas perundangan yang berkuatkuasa,” katanya.

Anda Mungkin Berminat