PM ucap tahniah kepada kepimpinan baharu DAP

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bagi penggal 2025-2028 yang diumumkan, semalam.

“Tahniah dan teruskan bekerja,” katanya ringkas kepada media selepas menghadiri Program Ihya’ Ramadan Bersama Warga Kemenetrian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Za’ba pada Isnin.

Pada pemilihan CEC semalam, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung bagi penggal 2025-2028.

Ini adalah penggal kedua Loke menjawat jawatan berkenaan sejak mengambil alih daripada Lim Guan Eng pada 2022.

Sementara itu, Gobind Singh Deo pula dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan yang baharu menggantikan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan memperoleh 2,785 undi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dipilih sebagai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan.

Guan Eng pula dipilih sebagai Penasihat DAP bagi penggal 2025-2028 menggantikan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai selepas memperoleh 1,719 undi.

Dua Timbalan Menteri di bawah Kabinet Anwar iaitu Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying kalah pada pemilihan CEC DAP semalam sementara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Insititusi), M Kulasegaran pula tidak bertanding.

Anda Mungkin Berminat