PETALING JAYA: Seorang warga emas yang tular kerana menampar seorang pemuda bukan Islam makan di khalayak ramai pada siang hari Ramadan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.
Majistret A Shaarmini membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan kes itu diklasifikasikan DNAA untuk dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.
Terdahulu, Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah tetapi tidak mengakui fakta kes yang dibacakan jurubahasa, memetik laporan media tempatan.
Justeru, Shaarmini menolak pengakuan bersalahnya dan memerintahkan warga emas itu melantik peguam bagi membela diri.
Tetapi, sebelum tarikh ditetapkan, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan pihaknya diarahkan merujuk kes itu kepada ibu pejabat AGC.
Sehubungan itu, majistret memutuskan tertuduh diberikan DNAA dan akan dituduh semula kelak.
Razak didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang pemuda di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru pada pukul 3.45 petang Ahad lalu.
Terdahulu, mangsa berusia 21 tahun dalam hantaran X mendakwa dia didatangi seorang warga emas bertanyakan sama ada dia beragama Islam ketika ingin menikmati makanan di sebuah pusat beli-belah.
Katanya, warga emas itu turut meminta untuk melihat kad pengenalan sebelum menamparnya. Kemudian, anak suspek segera menenangkan keadaan dan memohon maaf atas tindakan bapanya.