PETALING JAYA: Seorang warga emas yang bertindak menampar seorang pemuda kerana tidak berpuasa di sebuah pasar raya di Johor Bahru akan dituduh semula di Mahkamah Majistret pada petang ini.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan terdapat isu teknikal berkaitan pertuduhan yang difailkan terhadap individu terbabit semasa prosiding kes berlangsung pagi tadi.
“Isu teknikal melibatkan pertuduhan telah diatasi dan individu terbabit akan dituduh semula di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada petang 19 Mac 2025.
“Jabatan Peguam Negara berpuas hati satu pendakwaan wajar dikenakan terhadap individu tersebut,” katanya pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Peguam Negara komited untuk memastikan semua pihak memperoleh keadilan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang.
Dalam prosiding pagi tadi, Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah tetapi tidak mengakui fakta kes yang dibacakan jurubahasa, memetik laporan media tempatan.
Justeru, Majistret A.Shaarmini menolak pengakuan bersalahnya dan memerintahkan warga emas itu melantik peguam bagi membela diri.
Tetapi, sebelum tarikh ditetapkan, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan pihaknya diarahkan merujuk kes itu kepada ibu pejabat AGC.
Sehubungan itu, majistret memutuskan tertuduh diberikan DNAA dan akan dituduh semula kelak.
Baca juga: