PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, kadar tertinggi sejak 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata jumlah keseluruhan agihan keuntungan ini bernilai RM2.92 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH.
“Atas tatakelola ahli Lembaga, kecekapan pengurusan dan komitmen tinggi warga Tabung Haji, perkhidmatan cemerlang berjaya digembleng demi kesejahteraan para pendeposit dan jemaah haji Malaysia.
“Dengan rasa kesyukuran, saya mengumumkan Agihan Keuntungan Tahun Kewangan 2024 pada kadar 3.25 peratus, setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.5775 peratus,” ucapnya.
Mohd Na’im menjelaskan, prestasi pelaburan yang lebih baik hasil pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham yang positif sepanjang 2024 menjadi pemacu utama peningkatan agihan keuntungan.
TH juga meneruskan usaha mengawal kos operasi bagi memastikan pulangan terbaik kepada pendeposit.
Sejak penubuhannya, TH telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam negara menunaikan haji serta menanggung Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM2.8 bilion sejak 2001.
Selain menguruskan ibadah haji, TH turut melaburkan simpanan pendeposit menerusi pelaburan patuh Syariah serta menunaikan zakat bagi pihak mereka.
“Seperti tahun sebelumnya, TH telah menunaikan zakat berjumlah RM99.35 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri-negeri pada kadar 2.5775 peratus bagi tahun 2024.
“Langkah ini diharap dapat membantu usaha kerajaan dalam membasmi kemiskinan, sekaligus menoktahkan miskin tegar. Dengan pelunasan ini, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima,” katanya lagi.
Secara keseluruhan, TH telah melunaskan zakat berjumlah RM1.47 bilion bagi pihak pendeposit sehingga kini.
Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Ahad, 23 Mac 2025, melalui THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat, serta saluran elektronik bank rakan strategik TH, iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
Baca juga: