Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Memasuki 10 terakhir Ramadan, ujian menimpa buat rakyat di negeri Johor, Sabah dan Sarawak dengan bencana banjir yang luar jangka.
Susulan itu kerajaan menerusi bahagian pengurusan bencana dengan segera mengaktifkan segala tenaga dan aset bagi memastikan mereka mendapat perlindungan yang sewajarnya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di dalam Facebooknya hari ini, dan berkata pihaknya sedang menggiatkan usaha dari operasi menyelamat sehingga penyaluran bantuan keperluan asas.
“Setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 12,255 orang daripada 3,771 keluarga masih terjejas, dengan 116 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga negeri ini.
“Johor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 10,510 penduduk daripada 3,245 keluarga yang masih berada di 98 PPS merentasi lima daerah,
“Di Sabah, seramai 1,273 penduduk daripada 405 keluarga masih berlindung di 11 PPS di enam daerah, manakala di Sarawak pula, 472 penduduk daripada 121 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di empat daerah,” ujar Ahmad Zahid.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kepada seluruh rakyat di negara ini untuk mendokan agar keadaan di setiap negeri terbabit kembali pulih.
“Semoga saudara-saudara kita di Johor, Sabah dan Sarawak dikurniakan ketabahan serta kekuatan untuk menghadapi dugaan ini,” tambahnya.
Baca juga:








