TAWAU: Seramai 121 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang merupakan tahanan Depot Imigresen Tawau telah dipindahkan ke Pulau Nunukan, Indonesia semalam.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, kesemua PATI yang berusia dalam lingkungan lima sehingga 69 tahun itu dihantar pulang menggunakan feri Francis Express.
Katanya, pemindahan itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Sabah (JIM Sabah) dalam Operasi Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal.
“Setakat ini, jumlah keseluruhan warga Indonesia yang telah dipindahkan ke negara asal sejak awal tahun ini adalah seramai 773 orang.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan tahanan PATI yang telah dihantar pulang dari Sabah kepada 2,821 orang.
“Kesemua PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan serta mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah dan dikeluarkan oleh pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan PATI ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan itu turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.
JIM Sabah menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.
Menurutnya lagi, majikan dan pemilik premis yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, JIM Sabah turut menasihatkan majikan dan masyarakat agar hanya mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah mengikut peruntukan undang-undang.