Kerajaan umum insentif Rebat Rahmah buat anggota PDRM

PETALING JAYA: Bersempena sambutan Hari Polis Ke-218, lebih 127,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima insentif khas Rebat Rahmah secara ‘one-off’.

Pengumuman itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang menyatakan bahawa pemberian rebat tersebut adalah hasil kerjasama Kerajaan MADANI dengan beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Anggota PDRM yang menggunakan pelan pascabayar (postpaid) akan menerima rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan.

“Ia akan diberikan berdasarkan kitaran bil penerima sama ada pada bulan April, Mei atau Jun.

“Manakala bagi pengguna pelan prabayar (prepaid), mereka akan menikmati tambah nilai minimum RM30 secara ‘one-off’.

“Kaedah pemberian rebat pula bergantung kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, insentif itu disokong oleh syarikat telekomunikasi terkemuka seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com.

Menurut Fahmi, insentif itu adalah bukti komitmen kerajaan untuk mengiktiraf jasa dan pengorbanan anggota PDRM dalam menjaga keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, sebarang maklumat tambahan mengenai pelaksanaan rebat itu akan diumumkan oleh syarikat telekomunikasi yang terlibat.

Tambahnya, pengguna juga boleh merujuk laman sesawang rasmi Kementerian Komunikasi di pautan berikut: FAQ Kementerian Komunikasi.

Anda Mungkin Berminat