Isu Kuil: Kerajaan tidak zalim, negara ada hukum

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak sepatutnya digambarkan sebagai zalim dalam menyelesaikan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.

Kata beliau, perkara itu perlu dibincangkan dengan baik antara kedua-dua pihak bagi menjaga keharmonian pelbagai kaum.

Jelas Anwar lagi, kuil itu didirikan di atas sebidang tanah tanpa kebenaran pemiliknya sebelum ini mahupun sekarang.

“Jangan gambarkan kami (kerajaan) zalim dan jangan dengar penghasut ada Melayu yang beritahu apa salahnya buat masjid di tepi kuil itu.

“Tidak salah tapi salahnya tanah itu milik syarikat jadi peraturan dia dan kita beri ruang untuk pindah dengan baik.

“Kuil itu tidak dapat izin milik tanah dari tuan tanah, sama ada dulu DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau sekarangnya syarikat yang memilikinya.

“Jadi kita negara hukum. Negara hukum ini ikut hukum dan oleh kerana nak jaga hubungan antara kaum, kita lakukan sesuatu yang tidak semestinya perlu iaitu runding dengan baik kerana bagi mereka (penganut agama Hindu) itu tempat kepercayaan dan amalan agama harus dipindahkan dengan baik,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari Polis ke 218 di PULAPOL pada Selasa.

Tegas Anwar, kerajaan juga tidak menggunakan konsep Islam sebagai agama rasmi di negara ini untuk menekan mana-mana individu mahupun agama.

Ujar beliau, pihak majoriti mahupun minoriti tidak terlepas daripada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mewartakan Islam sebagai agama rasmi.

“Islam agama persekutuan, umat Islam adalah majoriti di negara ini tetapi kita tidak gunakan itu untuk menekan sesiapa.

“Yang majoriti (beragama Islam) dan Islam sebagai agama persekutuan mesti ikut hukum dan undang-undang.

“Yang minoriti pun mesti tunduk kepada undang-undang. Kita tidak boleh berlaku zalim kepada kaum majoriti mahu pun minoriti. Kita kena pertahankan apa yang disebut nilai Madani ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat