PM hargai peranan PDRM dalam sejarah, cabaran keselamatan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanjung tinggi jasa dan peranan besar Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pasukan keselamatan utama negara yang telah berkembang dari zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga era moden.

Dalam satu hantaran di Facebook sempena Hari Polis ke-218, beliau mengenang dedikasi dan sumbangan PDRM dalam memastikan kestabilan serta keamanan negara selama berabad-abad.

“Bermula dengan Temenggung sebagai pelaksana undang-undang, PDRM telah berkembang menjadi pasukan polis moden.

“Dari zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga era moden, PDRM sentiasa menjadi benteng utama dalam menegakkan undang-undang dan memastikan ketenteraman awam.

“Mereka bukan sahaja menangani jenayah domestik tetapi turut memainkan peranan dalam keselamatan serantau,” katanya.

Perdana Menteri turut menyentuh peranan penting PDRM dalam menentang ancaman komunis semasa era Darurat (1948–1960).

Menurutnya, operasi risikan oleh Pasukan Cawangan Khas ketika itu dianggap sebagai kunci kejayaan dalam membanteras gerakan subversif.

“Kecekapan PDRM dalam operasi sulit telah berjaya mengekang ancaman komunis, sekali gus mengekalkan kestabilan negara,” ujarnya.

Selain ancaman tradisional, Anwar menggariskan cabaran baharu seperti jenayah rentas sempadan dan keselamatan siber yang dihadapi oleh PDRM.

Tambah beliau, kerjasama dengan badan seperti ASEANAPOL dan INTERPOL menjadi langkah penting untuk memastikan keselamatan serantau terus terpelihara.

Beliau turut menghargai anggota PDRM yang bertugas tanpa mengenal masa, terutama sempena bulan Ramadan, demi menjaga ketenteraman rakyat.

“Pengorbanan mereka tidak ternilai dan kita sebagai rakyat perlu menghargai segala usaha mereka,” katanya.

Beliau turut berharap PDRM terus maju dalam melaksanakan amanah yang dipikul agar Malaysia kekal aman dan makmur.

Anda Mungkin Berminat