PETALING JAYA: Kontroversi mengenai tapak kuil Dewi Sri Pathrakaliamman semakin hangat diperkatakan, namun ia mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Pembangkang, Ahmad Fadhli Shaari terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Fadhli, yang juga Ketua Penerangan PAS menyifatkan ketegasan Anwar sebagai langkah tepat.
Beliau menegaskan bahawa isu itu bukanlah berkaitan agama tetapi lebih kepada pematuhan undang-undang.
“Mana-mana binaan haram di atas tanah milik orang lain tiada pilihan lain melainkan dirobohkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut berharap agar isu seperti ini tidak berulang pada masa akan datang.
Sebelum ini, Anwar dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Polis ke-218 menekankan bahawa isu tanah kuil di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur perlu diselesaikan mengikut kedaulatan undang-undang.
Beliau menjelaskan bahawa kuil tersebut didirikan tanpa kebenaran pemilik tanah, sama ada pemilik terdahulu, DBKL, mahupun pemilik semasa.
“Sebagai negara hukum, kita perlu bertindak mengikut undang-undang.
“Namun, demi menjaga hubungan antara kaum, kita berusaha untuk merundingkan penyelesaian yang baik bagi penganut agama Hindu,” ujar Anwar.