PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan Salam Aidilfitri kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdoğan dan keluarganya.
Menerusi satu hantaran di Facebook Anwar, perbualan mesra itu melambangkan keakraban hubungan kedua pemimpin yang semakin kukuh.
Anwar turut menzahirkan penghargaan atas hubungan dua hala Malaysia-Turkiye yang terus berkembang pesat terutamanya selepas kunjungan Erdoğan ke Malaysia baru-baru ini.
“Saya turut nyatakan penghargaan atas perkembangan hubungan dua hala kedua-dua negara yang semakin mengukuh terutama susulan kunjungan beliau (Erdogan) ke Malaysia tempoh hari,” katanya menerusi perbualan itu.
Namun, perbualan tidak terhenti di situ. Kedua pemimpin menyentuh isu genting serangan Israel yang meningkat di Palestin sejak 18 Mac lalu, tatkala umat Islam di seluruh dunia menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
Anwar berkata, serangan yang membatalkan perjanjian gencatan senjata itu telah merobohkan usaha damai yang dirancang.
“Saya tegaskan keperluan segera untuk mempertimbang rencana-rencana lain bagi menghentikan keganasan ini,” katanya.
Dalam nada tegas, Erdoğan menyatakan solidariti padu Turkiye bersama rakyat Palestin yang menggambarkan komitmen sejati untuk membawa keadilan ke bumi Palestin.
“Alhamdulillah, Erdogan mengulangi pendirian tegas untuk terus bersolidariti bersama-sama saudara kita di Palestin,” katanya lagi.
Di akhir perbualan, Anwar menerima jemputan rasmi Erdoğan untuk melawat Turkiye, satu lagi tanda hubungan erat kedua-dua pemimpin yang terus mekar.