Trio Pagi Era Kembali Hiburkan Pendengar

PETALING JAYA: Selepas hampir sebulan direhatkan, tiga penyampai radio Era, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin akhirnya kembali menemui pendengar setia, hari ini.

Mereka memulakan pagi Isnin dengan penuh semangat dalam program 3Pagi ERA yang menjadi kegemaran ramai.

Pengumuman itu disambut hangat oleh peminat Era FM selepas ia dikongsi di Instagram rasmi Era FM.

Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, turut berkongsi keterujaan terhadap kepulangan trio itu.

“Ketiga-tiga penyampai 3Pagi ERA kini berpeluang mengeratkan semula hubungan mereka dengan pendengar yang tidak pernah berhenti menyokong mereka.

“Kami akan terus memanfaatkan platform ini untuk menyampaikan aktiviti dan program yang memberi impak positif kepada semua pihak,” katanya.

Sepanjang tempoh rehat mereka, program pagi diisi oleh penyampai hebat seperti Sharifah Shahira (Kak Rare), Haziq dan Namie.

Kini, kembalinya tonggak utama 3Pagi ERA membawakan harapan baru untuk terus mengekalkan relevansi dalam industri penyiaran radio.

Walaupun berhadapan dengan cabaran, Era FM tetap optimis dengan sokongan pendengar setianya.

“Apa-apa pun, saya mewakili pengurusan ERA ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pendengar setia ERA yang sentiasa memberi semangat agar kami terus bangkit serta kekal relevan dalam industri penyiaran radio,” katanya.

Anda Mungkin Berminat