Trump ancam tarif tambahan 50 peratus terhadap China

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 50 peratus terhadap China.

Ia susulan ketegangan dalam perang perdagangan global yang sedang berlangsung kini.

Ancaman itu dibuat susulan tindak balas China mengenakan tarif balas sebanyak 34 peratus ke atas import dari AS minggu lalu.

Langkah itu adalah tindak balas terhadap tarif yang dikenakan Washington ke atas lebih 180 negara termasuk China.

“China telah mengenakan tarif balas sebanyak 33 peratus selain mengekalkan tarif sedia ada yang tinggi, melaksanakan halangan bukan monetari, memberi subsidi haram kepada syarikat serta memanipulasi mata wang dalam jangka masa panjang,” katanya memetik laporan media antarabangsa.

Beliau memberi amaran bahawa negara yang membalas tindakan AS dengan tarif tambahan akan menghadapi tindak balas lebih keras.

Trump juga menetapkan tarikh akhir 8 April untuk China menarik semula tarif baharu itu.

Jika gagal, tarif tambahan 50 peratus akan dikuatkuasakan bermula Rabu ini.

“Selain itu, Trump mengumumkan bahawa semua rundingan dengan China akan dibatalkan jika syarat tidak dipenuhi, manakala rundingan dengan negara lain akan diteruskan,” katanya.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Trump untuk mengimbangi semula perdagangan antarabangsa, yang didakwanya berat sebelah.

China, sebagai salah satu sasaran utama, telah bertindak balas dengan mengenakan tarif yang sama terhadap produk AS.

Anda Mungkin Berminat