Syarikat telco bersatu, tawar bantuan kepada mangsa kebakaran paip gas

PETALING JAYA: Beberapa syarikat telekomunikasi utama negara telah tampil memberikan bantuan kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memuji inisiatif itu yang melibatkan pengecualian bayaran perkhidmatan prabayar dan pascabayar, penggantian peralatan serta kad SIM secara percuma dan akses 5G percuma di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights.

“CelcomDigi, Maxis, TM Unifi, U Mobile, dan YES telah menunjukkan komitmen mereka terhadap kesejahteraan pelanggan dengan menawarkan pelbagai bentuk sokongan,” katanya dalam sidang media.

Menurutnya, bantuan yang ditawarkan adalah berbeza mengikut syarikat dan akan disesuaikan mengikut keperluan semasa, tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

“Orang ramai yang terjejas untuk memanfaatkan bantuan ini boleh mengunjungi kaunter bergerak di PPS, menghubungi talian hotline syarikat telekomunikasi atau hadir ke cawangan terdekat,” jelasnya.

Fahmi turut memaklumkan bahawa maklumat mengenai bantuan itu juga telah disalurkan kepada PETRONAS dan Pejabat Menteri Besar Selangor, yang sedang menyelaras usaha bantuan kepada mangsa insiden tersebut.

Anda Mungkin Berminat