Tarif Trump: Ujian Ketahanan Perdagangan Malaysia

Oleh: Dr Paul Anthony Maria Das

ULASAN: Keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 24 peratus ke atas import dari Malaysia bukanlah semata-mata langkah perlindungan perdagangan.

Sebaliknya, ia mencerminkan cabaran besar terhadap ekonomi Malaysia yang bergantung kepada eksport, serta menjadi amaran jelas tentang kerapuhan hubungan perdagangan antarabangsa pada abad ke-21.

Amerika Syarikat merupakan pasaran eksport kedua terbesar Malaysia, menyumbang 13.2 peratus daripada jumlah eksport negara pada tahun 2024.

Justeru, sebarang perubahan drastik dalam dasar perdagangan A.S. memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi tempatan.

Trump mempertahankan langkah ini dengan mendakwa Malaysia mengenakan purata tarif sebanyak 47 peratus ke atas barangan dari A.S. – satu angka yang dipertikaikan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Hakikatnya, kadar tarif purata sebenar yang dikenakan Malaysia hanyalah sekitar 5.6 peratus selaras dengan peraturan dan komitmen di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Ketidaktepatan data ini mencerminkan bahaya dasar perdagangan populis, yang sering mengorbankan ketepatan fakta dan prinsip persaingan adil demi keuntungan politik jangka pendek.

Sektor paling terdedah kepada impak tarif ini adalah Elektrik dan Elektronik (E&E), yang merangkumi lebih separuh daripada eksport Malaysia ke A.S.

Walaupun eksport teknologi tinggi seperti semikonduktor mungkin terkecuali pada peringkat awal, komponen lain dalam rantaian E&E seperti barangan pengguna, produk siap dan alat ganti bakal menerima tekanan yang ketara.

Industri sarung tangan perubatan dan getah, yang mencatat pertumbuhan pesat berikutan permintaan tinggi terhadap peralatan perlindungan peribadi (PPE), juga bakal menerima kesan.

Gangguan ini boleh mengakibatkan Malaysia kehilangan daya saing kepada negara serantau seperti Thailand dan Vietnam.

Negeri-negeri perindustrian utama seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor dijangka paling terkesan, dengan kemungkinan penurunan permintaan, pengurangan keuntungan dan tekanan ke atas tenaga kerja.

Malaysia Perlu Bertindak Strategik

Kesan lebih luas terhadap ekonomi negara turut dijangka. Penganalisis menjangkakan bahawa tarif ini, jika berpanjangan, boleh mengurangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 0.5 peratus hingga 1.0 peratus, bergantung kepada tempoh pelaksanaannya.

Selain itu, sentimen pelabur boleh terjejas, menyebabkan:

  • Penyusutan nilai ringgit

  • Kelembapan dalam aliran pelaburan langsung asing (FDI)

  • Tekanan terhadap pasaran saham, terutamanya syarikat yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

Sektor yang berorientasikan eksport mungkin mengalami penurunan penilaian keuntungan (earnings downgrade), sekali gus melemahkan keyakinan terhadap keseluruhan ekonomi negara.

Tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Trump adalah ujian ketahanan sebenar kepada struktur perdagangan Malaysia.

Dalam menghadapi realiti ini, Malaysia perlu segera menyesuaikan strategi perdagangan dan perindustrian – termasuk mempelbagaikan pasaran eksport, memperkukuh permintaan domestik, serta mempercepatkan pelaburan dalam inovasi dan automasi industri.

Cabaran ini juga merupakan peluang untuk melakukan penstrukturan semula yang mendalam demi memastikan daya saing jangka panjang ekonomi negara kekal kukuh dalam landskap perdagangan global yang semakin tidak menentu.

**** Penulis adalah pakar dari Pusat Pengajian Perakaunan dan Kewangan di Universiti Taylor

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat