KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan dakwaan tular di media sosial mengenai kehilangan sepasang bayi kembar di Hospital Kuala Lipis seperti yang didakwa dalam satu hantaran Facebook semalam.
Menurut kenyataan JKNP, siasatan awal mendapati tiada bayi kembar menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak hospital berkenaan seperti yang didakwa.
“Siasatan awal dilaksanakan dan mendapati tiada bayi kembar seperti didakwa telah menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis.
“Kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di Hospital Lipis adalah pada Julai 2024,” katanya.
Kenyataan itu turut menafikan kewujudan individu bernama “Dr Amalina Husna” yang didakwa sebagai doktor palsu yang merawat bayi berkenaan.
“Manakala bagi dakwaan wujudnya ‘doktor palsu’ bernama Dr Amalina Husna yang merawat ‘bayi’ selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis pula, didapati tiada rekod bagi kewujudan doktor tersebut pernah bertugas di Hospital Kuala Lipis,” katanya.
JKNP memaklumkan bahawa pihak pengurusan tertinggi Hospital Kuala Lipis telah membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan, bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan imej hospital dan perkhidmatan kesihatan awam.
“Orang ramai diingatkan berhati-hati dalam penyebaran maklumat jika tidak pasti kesahihannya,” katanya.
Semalam, satu hantaran bertajuk “Sepasang Bayi Kembar Hilang Dilarikan oleh Doktor Palsu di Hospital Kuala Lipis” tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna.